Sorting by

×

UTeM terbit lebih 700 buku sejak tahun 2000

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DURIAN TUNGGAL 20 Jun – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerbitkan lebih 700 judul buku merangkumi bahan ilmiah dan umum sejak tahun 2000.

Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penerbitan bahan cetakan itu turut menyumbang kepada perolehan hasil untuk UTeM.

“Ini terbukti dengan nilai jualan buku terbitan UTeM sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PBAKL) yang lalu meningkat daripada RM9,543.44 pada 2022 kepada RM10,876.05 tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 13.96 peratus.

“Lebih membanggakan, nilai jualan buku terbitan UTeM di PBAKL 2023 adalah tertinggi dalam kalangan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Wacana Kedaulatan Malaysia dan Pelancaran Ekspo Buku Malaysia 2024 di Auditorium Canselori Kampus Induk UTeM, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Canselor UTeM.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola, Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan lain-lain kenamaan.

Massila berkata, ekspo buku dijadualkan berlangsung Februari 2024 itu dianggap platform terbaik memupuk budaya membaca dan menulis selaras hasrat kerajaan dalam merealisasikan matlamat membina Malaysia Madani yang dinamik.

“Ini seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Usaha ini juga mampu memartabatkan penggiat industri perbukuan termasuk penulis dan penerbit untuk merancakkan lagi aktiviti penerbitan serta perbukuan dalam negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5529
Kongsi :
Previous post Perluaskan penganjuran program Malam Cinta Rasul di IPT, PBT
Next post Sorakan penduduk gamat
Ubah saiz-+=