Sorting by

×

‘Badang’ cilik Melaka cipta kejutan lagi

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 20 Jun – Atlet muda angkat berat Melaka terus melakar kejutan apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, empat perak dan dua gangsa pada Karnival Bakat MSN Kebangsaan Siri 1/2023 di Pavillion MSN Bukit Jalil yang berlangsung 14 hingga 18 Jun lalu.

Pencapaian cemerlang kem Melaka pada kejohanan itu diketuai pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas, Nur Fatihah Zinoras, 11, yang berjaya melakukan angkatan 46 kilogram (kg) dalam acara 50kg wanita, sekali gus membawa pulang pingat emas pertama dalam kariernya.

Pingat perak pula diraih pelajar SK Felda Bukit Senggeh Nur Shafiq Haikal Shafulnizam, 11 bersama tiga lagi atlet wanita dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota iaitu Nur Dania Izzati Mohd Firdauz 13 tahun, Nur Nisrina Eryna Abdullah, 15 dan Qaseh Umairah Wahid, 15.

Manakala, pingat gangsa dimenangi Muhammad Darin Arif Muhammad Yudzaime, 10 dan Nur Aziera Wahidah Mohd Said, 15 masing-masing dari SK Seri Bandar dan SMK Datuk Bendahara.

Menurut Pengurus Pasukan Angkat Berat Melaka Imran Lamin, pada kejohanan tersebut, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran pingat memandangkan rata-rata atlet yang dihantar baru sahaja menyertai pasukan sekitar enam hingga 10 bulan.

Menurutnya, sasaran utama pada penganjuran itu ialah agar atlet Melaka mendapat pengalaman dan suasana pertandingan sebenar bagi meningkatkan keyakinan mereka pada kejohanan akan datang.

“Sasaran kita adalah setiap atlet dapat menyerap tekanan dan mampu melengkapkan tiga angkatan snatch serta tiga angkatan clean & jerk dalam acara masing-masing.

“Tetapi kejayaan mereka meraih pingat mengejutkan pihak kejurulatihan dan pengurusan Majlis Sukan Negeri Melaka kerana sebahagian besar atlet ini baru kali pertama menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut beliau, pada karnival bakat itu, kontinjen angkat berat Melaka menghantar seramai 21 atlet pembangunan berusia 10 hingga 16 tahun.

“Alhamdulillah, dengan kejayaan kecil ini, memberi kami banyak pilihan untuk membentuk pasukan yang lebih baik bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak tahun depan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3536
Kongsi :
Previous post Naik taraf muzium, lokasi bersejarah sempena TMM2024
Next post Himpunan selawat UiTM cipta rekod negara
Ubah saiz-+=