Terima kasih Ustazah Norlida
AYER KEROH 16 Jun – Semangat Norlida Mahmud, untuk terus mendidik dan berkongsi ilmu tidak pernah pudar meskipun sudah bersara selepas 37 tahun bertugas di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Tidak senang di rumah tanpa berbuat apa-apa Norlida, 58, kini aktif berkongsi ilmu agama selepas ditauliahkan sebagai tenaga pengajar di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Lesung Batu, Alor Gajah.
Apa yang berbeza adalah, kali ini Norlidah, mengajar warga emas berbanding anak muda ketika bertugas di SRA Jaim.
“Selepas dua tahun bersara saya teruskan kerjaya sebagai seorang pendidik. Saya juga mengajar ibu-ibu dalam kalangan warga emas mengaji al-Quran di rumah pada waktu petang disusuli kanak-kanak sebelah malam.
“Kunci kepada kehidupan saya adalah bijak dalam pembahagian masa. Sebagai ibu dan pendidik kena tahu bahagikan masa antara tugas di rumah dan sekolah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIM Peringkat Negeri Melaka 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Terdahulu Norlida yang juga bekas Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim, Ayer Pasir, Machap dinobatkan sebagai penerima tunggal Anugerah Tokoh Guru 2023 yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurut ibu kepada lima anak itu, dia tidak menyangka menerima pengiktirafan tersebut dan menganggapnya sebagai hadiah terindah sepanjang bergelar pendidik.
“Alhamdulillah, banyak pengalaman manis sepanjang bergelar pendidik namun apa pun setiap kejayaan yang dilakar, kerjasama dalam setiap perkara itu adalah kunci kepada segalanya,” katanya.
Berpengalaman hampir empat dekad bergelar guru SRA Jaim Norlida sudah banyak membantu kejayaan pelajarnya hingga ke menara gading.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.