Kelahiran semula ‘The Speedy Jantan’
AYER KEROH 12 Jun – Pernah menggegarkan arena sukan tanah air ketika menjuarai 100 meter lelaki pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan bertekad mengembalikan semula prestasi terbaiknya.
Selepas sekian lama bergelut dengan kecederaan, Khairul Hafiz kembali dalam acara di Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei lalu dan berjaya meraih satu pingat gangsa dalam acara 4×100 meter.
Dalam acara 100 meter itu, pelari pecut negara berumur 25 tahun berjaya mencatat masa terpantas pada saringan kedua dengan 10.36 saat dan mencatat 10.448 saat pada pusingan akhir untuk menduduki tempat keempat.
Lantas, Khairul Hafiz bertekad mahu kembali pada prestasi terbaik dan menyasarkan catatan masa 10.10 saat pada dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, Julai depan.
“Sukan SEA sebelum ini saya dapat pingat gangsa sahaja, jadi fokus saya sekarang untuk ke Sukan Asia pada September ini, tapi sebelum ke sukan ini saya akan ke kejohanan ATF dahulu.
“Saya fokus dua acara iaitu larian 100 meter dan 4×100, sasaran saya sekarang untuk perbaiki timing (masa) larian, Sukan SEA tempoh hari, saya catat 10.36 saat, harap tahun ini saya dapat kembalikan masa terpantas saya tanpa sebarang kecederaan.
“Sekarang saya mahu fokus pada latihan memandangkan sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) banyak kekangan dan mengganggu dah waktu latihan. Jadi, dengan masa yang ada, saya kena paksa diri untuk berlatih lebih lagi,” katanya.
Khairul Hafiz berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima insentif kemenangan Atlet Negeri Melaka di Sukan SEA Ke-32, Kemboja 2023 di sebuah hotel di sini, semalam.
Majlis itu dirasmikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mewakil Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP. Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Mohd Asri Ninggal dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Khairul Adri Rosli.
Anak Melaka ini yang terkenal dengan gelaran ‘The Speedy Jantan’ pernah memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia (SUKMA 2016) dengan catatan masa 10.18 saat.
Setahun selepas itu, dia kembali mengharumkan nama negara dan Negeri Melaka apabila berjaya meraih pingat emas di temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.