Keluarga petani
SERKAM 11 Jun – Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kegirangan pasangan suami isteri ini yang mengutip 150 kilogram (kg) terung dan cili di kebun mereka hampir setiap hari.
Minat berbudi kepada tanah mendorong Sashraman Jalil, 51, bersama isteri Norfazlina Shamsudin, 41, mengusahkan dua jenis sayuran itu menggunakan teknik fertigasi di tapak berkeluasan 0.61 hektar di Serkam, di sini.
Sashraman berkata, mereka mengusahakan 1,500 polibeg cili besar, 2,000 terung dan tambahan 200 terung bulat sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, meskipun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian khususnya penanaman cili yang mudah diserang penyakit dia memberanikan diri untuk terjun ke dunia pertanian.
Berbekalkan modal RM30,000, Sashraman membeli peralatan diperlukan seperti paip, baja, tangki air dan racun serangga bagi memastikan apa yang diusahakan membuahkan hasil lumayan.
“Pernah tanaman tidak menjadi, tetapi saya dan isteri tidak pernah putus asa, kami cuba hingga berjaya. Kini kami sudah ada enam plot tanaman sekitar Jasin dan Sungai Rambai.
“Selepas kira-kira 60 hari pokok cili besar dan terung sudah mula membuahkan hasil. Mengikut kebiasaan cili besar boleh keluarkan hasil hingga lima kg bagi setiap pokok, manakala terung pula 25 biji setiap kali petik.
“Memang gembira melihat pokok berbuah lebat, alhamdulillah rezeki kami juga murah, anggaran bagi setiap musim adalah antara lima hingga enam bulan,” katanya.
Menurutnya, harga terung gred A RM7 satu kg, cili besar gred A RM10 satu kg dianggap berbaloi dengan penat lelah dia bersama isteri.
Bapa kepada enam anak ini bersyukur kerana permintaan cili besar dan terung sentiasa ada, sekali gus mengelakkan berlaku lambakan hasil ladang.
“Kalau ikut permintaan memang tidak cukup, cumanya kita kena pilih yang betul-betul berkualiti, kena asingkan mengikut gred. Tetapi saya akan pastikan yang dijual hanyalah Gred A.
“Kualiti setiap buah juga bergantung kepada cara penjagaannya, pokok cili lebih sensitif berbanding terung kerana ia memerlukan cuaca yang sederhana panas, kadang kala serangga juga boleh menjadi punca tanaman ini tidak subur.
“Biarpun ada permintaan dari negeri luar, namun saya cuba penuhi permintaan di Melaka dahulu seperti di pasar borong dan pasar besar, selepas itu baharu saya akan bekalkan di Muar, Johor dan lokasi lain di negeri itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.