Lelaki kasari pemandu wanita dipenjara seminggu
TAPAH, 9 Jun – Mahkamah Majistret Tapah hari ini menjatuhi hukuman penjara tujuh hari ke atas seorang lelaki yang mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden di Lata Iskandar, yang tular Isnin lepas.
Majistret Siti Hanum Mohmad Sah menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mangsa, Amiera Atiqah Shahrizan, 24.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, yang berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan iaitu hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Zaim Faiz didakwa menakutkan secara jenayah terhadap mangsa dengan kata ugutan “pecah muka kau sat lagi” di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highlands pada 5.33 petang 5 Jun lalu.
Penyelia mesin itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya JS Geetha memohon hukuman setimpal dijatuhkan ke atas tertuduh kerana perbuatan tertuduh memaki hamun, mengugut dan menampar dahi mangsa adalah tidak wajar dan tidak rasional.
“Ia juga bagi memberi mesej kepada masyarakat di luar sana supaya jangan mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan mengambil pengajaran daripada kes ini,” katanya.
Mohamad Zaim Faiz bagaimanapun merayu hukuman paling ringan kerana mempunyai seorang anak dan isteri yang sedang sarat mengandung.
Mohamad Zaim Faiz memberi alasan tindakannya itu kerana terlalu marah akibat nyawanya dan keluarga terancam kerana tindakan pemanduan wanita berkenaan.
Siti Hanum bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya selepas ini berfikir sebelum bertindak.
“Kerana setiap tindakan bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri sahaja, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat. Kes sudahpun tular, mahkamah perlu membuat keputusan sewajarnya,” katanya.
Mengikut fakta kes pada hari kejadian, pengadu Amiera Atiqah bersama adiknya menaiki kereta Myvi yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands mengaku cuba memotong kereta Persona dinaiki tertuduh.
Namun tiba di Lata Iskandar, KM22 Jalan Tapah-Cameron Highlands tertuduh memberhentikan kereta dan datang ke arah cermin kereta pengadu dan memaki hamun mangsa dengan kata ugutan “pecah muka kau sat lagi” dan menampar dahi mangsa dengan kuat.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan dirujuk ke Hospital Tapah, hasil pemeriksaan perubatan terhadap pengadu, pengadu mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian muka.
Video berdurasi 59 saat tertuduh mengasari pengadu tular di media sosial pada Isnin sebelum tertuduh ditahan polis di sekitar Serdang, Selangor pada Selasa.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.