Lima ditahan pukul remaja dan terlibat sindiket tawar pinjaman tidak wujud
BANDARAYA MELAKA 8 Jun – Tidak tahan bekerja sebagai operator sindiket penipuan atas talian dan nekad mahu berhenti, seorang remaja lelaki dicederakan dan diperas ugut dalam kejadian di sebuah kondominium pada penghujung Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pihaknya menerima laporan daripada remaja berusia 15 tahun memaklumkan dia diaibkan serta diperas ugut kerana mahu berhenti daripada bekerja sebagai operator sindiket itu.
Katanya, susulan itu sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 23 tahun di Taman Jati Hang Tuah Jaya pada jam 3.45 petang Rabu minggu lalu.
“Berdasarkan siasatan awal dipaksa menanggalkan pakaian sebelum dirakam videonya selain dipukul sehingga mengalami kecederaan.
“Siasatan lanjut turut mendapati kelima-lima suspek berkenaan menjalankan aktiviti penipuan atas talian dengan menawarkan pinjaman wang tidak wujud sejak tahun lalu dan mensasarkan individu yang mempunyai akaun media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sindiket ini disyaki terlibat dalam kes samun serta menjalankan aktiviti penipuan atas talian yang mensasarkan jumlah kutipan minimum bagi aktiviti pinjaman tidak wujud ini sehingga RM20,000 sehari dengan menggunakan apa jua kaedah komunikasi menerusi telefon bimbit termasuk melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram.
Katanya, dalam penahanan itu, pihaknya merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan itu, antaranya termasuk beberapa telefon bimbit pelbagai jenama dan router selain batang besi bersalut plastik dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
“Lima suspek berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan mangsa dalam tindakan samun yang membawa kepada hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Christopher berkata, susulan penahanan lima individu terbabit, pihaknya menjalankan operasi pencegahan aktiviti penipuan atas talian dengan menahan lapan lelaki dan tiga wanita yang menjadikan sebuah rumah mewah di Cheng Perdana sebagai pangkalan aktiviti berkenaan.
“Seorang lelaki daripada 11 individu ditahan itu bagaimanapun cuba memberi suapan kepada polis dengan menawarkan RM60,000 bagi menutup kesalahan dilakukan mereka.
“Kesemua 11 suspem ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu bagi memperoleh harta orang lain dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda manakala suspek yang cuba memberi suapan itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.