Sorting by

×

Hadiah anak tunggal banggakan ibu, ayah

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TELOK MAS 8 Jun – “Kalau bukan saya yang banggakan ibu dan ayah, tiada siapa lagi kerana sayalah satu-satunya anak mereka,” itu kata pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, Farishah Nabihah Yahaya.

Farishah Nabihah, 18, mendapat keputusan 9A dalam semua mata pelajaran yang didudukinya.

Menurutnya, untuk SPM dia hanya menyasarkan 8A memandangkan tidak yakin meletakkan A bagi mata pelajaran Matematik selain dalam peperiksaan percubaan dia hanya mendapat D bagi subjek itu.

“Walaupun tidak sasarkan untuk mendapat A tetapi saya tetap banyakkan membuat latihan kerana saya ingin lakukan yang terbaik serta menghadiahkan sesuatu berharga buat kedua ibu bapa.

“Apabila diumumkan mendapat 9A saya tidak dapat menahan sebak kerana ia di luar jangkaan. Jadi ini adalah satu-satunya hadiah buat ibu dan ayan yang banyak bekorban,” katanya.

photo_2023-06-08_14-10-39 (2)
Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, Farishah Nabihah Yahaya,18. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pelajar aliran Ekonomi itu ditemui di Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2022 yang disempurnakan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad di SMKA Sharifah Rodziah, hari ini.

Ibu kepada Farishah Nabihah, Aishah Kamis, 55, berkata, sebagai seorang ibu sudah pasti doanya tidak berpenghujung buat anak tunggalnya itu.

“Dengan kejayaan ini saya dan suami sudah pasti berbangga kerana dia sahaja anak yang kami ada malah keputusan SPM ini juga permulaan buat dirinya.

“Sebagai ibu setiap hari saya mendoakan kejayaan buatnya malah ketika dia menduduki SPM saya hadir ke sekolah bersama ibu yang lain membaca Yasin selain turut berpuasa sunat agar dipermudahkan urusannya,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi pelajar cemerlang Insyirah Noor Ain, 18, yang mendapat keputusan 11 A berkata, dia tiada tips khusus dalam belajar cuma banyak membuat latihan.

“Sejujurnya saya agak terkejut mendapat 11A kerana subjek Biologi dan Matematik Tambahan agak susah walaupun dapat menjawab kesemua tetapi tidak berapa yakin.

“Jadi apabila orang tanya, saya memang tidak cakap akan dapat semua A kerana tidak mahu letak harapan terlalu tinggi. Allahamdulillah, keputusan hari ini bukan sahaja hadiah untuk kedua ibu bapa malah guru-guru yang banyak membantu,” katanya.

photo_2023-06-08_14-26-33
Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, Insyirah Noor Ain,18 menunjukkan sijil keputusan 11A yang diperolehinya sempena Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3351
Kongsi :
Previous post Ab Rauf ucap tahniah kepada calon SPM 2022 Melaka
Next post Tiada hasrat naik harga minyak masak peket bersubsidi – Salahuddin
Ubah saiz-+=