Penyeleweng diesel bersubsidi makin licik!
PAYA RUMPUT 8 Jun – Menggunakan lori berlogo dan pacuan empat roda untuk menyeleweng diesel bersubsidi.
Itu taktik terbaharu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka menerusi Op Tiris dalam mengesan pesalah melibatkan barang kawalan.
Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar berkata, modus operandi terbaharu itu dikesan susulan serbuan ke atas sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Krubong, semalam.
Katanya, dalam serbuan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, sebanyak 57,000 liter diesel bersubsidi telah ditemui bersama sebuah lori tangki, beberapa tangki simpanan, alat pam dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM300,000.
Tambahnya lagi, ketika serbuan turut ditahan dua warga tempatan dan seorang warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan tersebut.
“Hasil soal siasat awal, kita dapat tahu bahawa modus operandi penyeleweng diesel ini sudah berubah.
“Selain menggunakan lori tiga tan berlogo dan kenderaan pacuan empat roda, mereka juga telah beralih daripada transaksi tunai kepada transaksi dalam talian.
“Ini bermaksud, pekerja yang menjalankan kerja di lapangan tidak tahu siapa majikan atau ketua mereka dan semua arahan diberikan secara dalam talian,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut beliau, kegiatan haram itu dikesan oleh orang awam yang curiga dengan pergerakan keluar masuk secara kerap kenderaan di premis berkenaan yang baru dianggarkan beroperasi kira-kira sebulan.
“Terima kasih kepada orang awam yang menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan bertindak melaporkan aktiviti haram ini.
“KPDN Melaka juga mengucapkan terima kasih kepada anggota polis yang bersama kami di dalam Op Tiris dalam membanteras penyelewengan di negeri dan negara ini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.