Tarik pelaburan baharu, promosi TMM2024 di Jerman
SEPANG 5 Jun – Delegasi Misi Galakan Pelaburan Negeri Melaka ke Jerman diketuai, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Sepanjang seminggu di Jerman Ab Rauf, menggunakan peluang yang ada untuk mengadakan perjumpaan bersama pengurusan tertinggi syarikat multinasional mengeluarkan pelbagai produk berteknologi tinggi seperti Leuze Electronic, Muehlbauer Group BiH, Sesotec GmBH, DELO Industrial Adhesives dan ibu Pejabat Infineon Technologies AG di Neubiberg.
Difahamkan Ab Rauf adalah Ketua Menteri Melaka pertama mejejakkan kaki ke ibu pejabat pengeluar produk semikonduktor itu di Jerman selepas 50 tahun Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. beroperasi di Batu Berendam.
Selain menarik lebih banyak pelaburan baharu, Ab Rauf bersama delegasi turut mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sepanjang berada di Jerman.
Antara delegasi mengiringi Ketua Menteri ke Jerman adalah Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka Berhad (MCOP) Datuk Mashitah Ismail.
Hadir bersama, Pengarah Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Munich, Wan Farulnizam dan Pengarah MIDA Negeri Melaka, Jaibalan Harirajan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.