Pengiktirafan destinasi mesra Muslim terbaik, bantu promosikan pelancongan Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pengiktirafan Malaysia sebagai ‘Destinasi Mesra Muslim Terbaik’ dan ‘Destinasi Mesra Wanita Muslim Terbaik’, baru-baru ini dilihat dapat membantu mempromosikan Malaysia kepada dunia dan mempergiatkan kaedah menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
Pemilik sebuah agensi pelancongan, Muslimtravelbug Sdn Bhd Mohd Saddam Irrban Shamsuddi berkata selari dengan pengiktiran itu, industri pelancongan Malaysia seharusnya memilih untuk mewujudkan lebih banyak produk berkaitan Muslim yang akan menarik lebih ramai pelancong Muslim melawat tempat-tempat menarik di Malaysia.
Beliau berkata agensinya sedang bersiap sedia untuk memberi fokus terhadap inbound sebagai sumber utama pendapatan mereka agar dapat menampung permintaan pelancongan dalam industri dan menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara.
“Kami memberi tumpuan kepada pelancongan Muslim. Dalam industri pelancongan Malaysia, banyak syarikat memfokuskan kepada pasaran pelancongan yang berbeza, seperti pelancong Eropah, Arab dan Indonesia. Tetapi kami memberi tumpuan khusus kepada pelancong Muslim,” katanya.
Pada 1 Jun, Malaysia diumumkan sebagai ‘Destinasi Mesra Muslim Terbaik’ oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ‘Destinasi Mesra Wanita Muslim Terbaik’ oleh CrescentRating dan Mastercard sempena Anugerah Halal in Travel Awards yang diadakan di Singapura.
Mohd Saddam berkata lebih banyak penambahbaikan boleh dilakukan kepada industri, seperti menaik taraf kemudahan penting di lapangan terbang, serta kereta api penghubung dan sistem pengurusan imigresen untuk memudahkan pengalaman perjalanan bagi pelancong.
Beliau juga berkata agensi pelancongan juga harus mempromosikan keindahan semula jadi Malaysia, terutama yang mempunyai pantai yang selamat untuk aktiviti air seperti di Kuantan, Kuala Terengganu dan Langkawi.
Presiden Persatuan Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) Harun KC Ahmmu berkata pihak industri bersyukur dengan pengiktirafan itu, kerana apabila pasaran pelancongan mesra Muslim berkembang setiap tahun, negara Islam akan semakin menjadi destinasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
“Kita harus memilih untuk menyediakan makanan halal sepenuhnya, supaya pelancong Muslim boleh datang ke negara kita tanpa rasa bimbang ketika makan di restoran kita, apabila beberapa restoran menyatakan dengan jelas status halal mereka. Setakat ini, dalam erti kata ini, kami cukup terurus.
“Tahap keramahan awam kepada pelancong kita juga penting, dan mereka harus dididik untuk sekurang-kurangnya menyambut pelancong kita dengan ucapan ‘Selamat pagi dan ‘Dari mana kamu?’. Cara rakyat kita menyambut tetamu ini, adalah sangat penting,” katanya, sambil menambah kemesraaan dan sikap positif terhadap pelancong ini akan membuatkan pelawat rasa lebih selesa dan lebih dialu-alukan di Malaysia.
Harun berkata kerajaan juga perlu memberi lebih perhatian kepada tahap keselamatan pelancongan Malaysia bagi memastikan pelancong berasa selamat ketika melawat ke Malaysia.
“Dengan semua pendekatan proaktif yang betul diambil, Malaysia akan diiktiraf sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan mesra,” katanya.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik (MITA) Uzaidi Udanis berkata bagi memartabatkan gelaran pengiktirafan, terutama memandangkan persaingan sengit negara jiran, aktiviti Islam yang lebih unik perlu diadakan sepanjang tahun bagi menarik pelancong.
“Kami menyediakan pengalaman terbaik, paling unik untuk pengembara Muslim, seperti majlis berbuka puasa beramai-ramai di Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka yang diadakan awal tahun ini. Kedua, rumah terbuka Aidilfitri yang menawarkan pelbagai juadah tempatan dan perlu diadakan lebih banyak lagi, bagi membezakan kita dengan negara yang menyambut Aidilfitri hanya sehari.
“Kita juga ada sambutan Adiladha, dengan kita ada pelancong dari Singapura dan negara lain yang ingin melihat bagaimana kita menyambutnya, dengan korban lembu dan sebagainya. Mereka juga boleh menyertai perayaan kami dan mempelajari budaya kami,” katanya.
Seorang pengembara tegar, Nur Iffah Syakilah Ahmad, 27, berkata walaupun berhati-hati dan peka dengan keselamatannya, dia masih boleh mengembara ke seluruh negara dengan tenang kerana Malaysia terkenal sebagai Destinasi Mesra Wanita Muslim terbaik.
“Kita melihat Islamofobia di negara-negara Barat yang menyebabkan umat Islam khususnya wanita Muslim takut untuk melancong ke sana. Tetapi di Malaysia, saya dengan bangganya boleh memakai tudung dan makan di mana-mana restoran yang saya inginkan asalkan saya tahu ia halal. Ia bukan satu kebimbangan besar di Malaysia,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.