Hina Nabi Muhammad: Menteri Agama kirim surat kepada Duta Perancis
MELAKA 27 Okt. – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menghadiah sebuah buku bertajuk al-Shama’il al-Muhammadiyyah kepada Duta Perancis di Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi, beliau berkata, langkah menghadiahkan buku itu dibuat agar peristiwa berkaitan Nabi Muhammad SAW oleh Charlie Hebdo dipandang secara serius.
Kejadian itu katanya, dapat dielakkan, jika seseorang itu mengenali peribadi Nabi Muhammad SAW yang sebenar.
“Berkaitan isu terkini membabitkan karikatur dilukis Nabi Muhammad SAW, kami agak kecewa dengan insiden terbabit dan turut senada dengan Imam Besar Al-Azhar Dr. Ahmed al-Tayyib.
“Agak sukar untuk percaya dalam era moden ini bahawa masih ada antara kita yang tidak memahami kepentingan untuk hidup bersama.
“Islam bukannya agama asing di Perancis. Francis I dan Suleiman 1 pernah bekerjasama sebagai sekutu melawan Empayar Roman Charles V dan Henry VII dari England.
“Dan pada musim sejuk sekitar 1543 hingga 1544, selepas penawanan Nice, Toulon digunakan sebagai pangkalan tentera laut Empayar Uthmaniyah dibawah Laksamana Ariadenus Barbarussa (Hayreddin Barbarossa).
“Gereja Toulon turut ditukar menjadi masjid hingga Empayar Uthmaniyah meninggalkan bandar itu.
“Sehubungan itu, saya mewakili Kerajaan Malaysia ingin menarik perhatian Tuan Yang Terutama berkaitan bulan kelahiran Rasulullah SAW iaitu pada Rabiulawal (18 Oktober hingga 17 November) berdasarkan kalendar Islam.
“Oleh itu, bulan Rabiulawal adalah masa yang paling sesuai mendapatkan sebuah salinan buku biografi Nabi Muhammad SAW untuk mengenali sisi Baginda.
“Dan sebagai Muslim, kami tidak akan membalas dendam terhadap (perkara itu) menerusi karya provokatif atau meluahkan rasa tidak puas hati kepada orang awam.
Mengulas lanjut, baru-baru ini, karya provokatif Charlie Hebdo diterbitkan semula hingga menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.