Rasai manisnya ibadah
Oleh: Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil (Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka)
UMAT Islam yang beriman dan bertakwa serta percaya dengan nikmat kurniaan Allah SWT, hatinya sentiasa tenang dan tiada kesulitan hidupnya di dunia mahu pun di akhirat nanti.
Setiap ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT sudah pastinya ada hikmah di sebalik suruhan dan larangan-Nya. Ibadah yang dilaksanakan adalah bentuk pengabdian diri kepada Allah SWT.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Adz-Dzariyaat ayat 56, yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka beribadah kepada-Ku.”
Kenikmatan yang dirasai oleh seseorang hamba dalam ibadahnya merupakan salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.
Antara keistimewaan ibadah yang dilaksanakan ini ialah memperolehi keberkatan, rahmat, pelindungan dan pertolongan daripada Allah SWT seterusnya dapat membersihkan diri daripada dosa dengan melakukan taubat kepada-Nya di atas kesalahan yang telah dilakukan.
Ibadah yang sangat dituntut adalah ibadah badaniyah iaitu ibadah yang berkaitan dengan anggota fizikal dan hati seperti solat, zakat, puasa, haji dan jihad.
Kemanisan ibadah ini dapat dirasai oleh setiap orang yang menjalankan kewajipan sebagai hamba-Nya dengan sepenuh hati. Ianya merasa dekat dengan Allah SWT dan sentiasa di bawah keredaan-Nya. Semakin kerap kita melaksanakan ibadah, semakin mendalam rasa cinta dan rindunya kepada Allah SWT. Yakin dan percayalah setiap penghidupan di dunia ini datangnya daripada Allah SWT.
Kesungguhan menjalankan tanggungjawab beribadah dapat memberi kesan yang positif kepada kehidupan seseorang. Misalnya, apabila melakukan ibadah solat lima waktu dengan khusyuk, jiwa akan merasa tenang sekaligus membawa kebaikan kepada kesihatan fizikal dan mental.
Mengamalkan ibadah puasa pula dan memperbanyakkan puasa sunat akan membawa kepada keberkatan dalam kehidupan. Memperbanyakkan sedekah dengan ikhlas akan membawa kepada ganjaran pahala yang berganda di sisi Allah SWT.
Namun, ibadah zakat wajib menjadi keutamaan sebagai menyempurnakan Rukun Islam yang lima. Ibadah ini dapat membersihkan harta dan menyucikan jiwa daripada segala sifat negatif seperti tamak, riak dan mementingkan diri sendiri. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan zakat sebagai penyucian harta.” (Hadis Riwayat al-Bukhari). Ini jelas menunjukkan bahawa berzakat akan menemukan kebahagiaan dan kemanisan ibadah di dunia mahupun di akhirat.
Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.