Norshafiqha sertai skuad kebangsaan, idam kemenangan Piala Remaja Asia
AYER KEROH 31 Mei – Penyerang harapan negara, Norshafiqha Ishak akan beraksi bersama pasukan kebangsaan dalam Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia Wanita yang akan berlangsung di Kakamigahara, Jepun dari 2 hingga 12 Jun ini.
Norshafiqha berkata dia bersama 19 pemain lain termasuk enam daripadanya pemain senior kebangsaan terpilih dan terbang ke Jepun pada 30 Mei lalu.
Jelasnya, lima daripada enam pemain tersebut berada dalam skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 Kemboja.
“Pemilihan pemain bagi pasukan ini telah bermula sejak awal tahun 2022, melihat pada tahap kecergasan pemain, keserasian antara satu sama lain dan mempunyai mentaliti untuk menang antara kriteria pemilihan bagi menggalas cabaran negara.
“Terima kasih kepada jurulatih saya, Lailin Abu Hasan yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk mengharumkan nama negara di negara matahari terbit nanti,” katanya.
Norshafiqha merupakan pelajar semester satu Diploma Teknologi Perbuatan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Merlimau (PMM) turut meletakkan impian membawa pulang kemenangan buat negara.
Jelas Norshafiqha meskipun terpaksa mengharungi jadual latihan dan kuliah yang agak padat sebelum berlepas, namun itu tidak melunturkan semangatnya mewakili negara.
“Harapan saya cuma mahu membawa pulang kemenangan buat negara dan PMM sendiri sebagai institusi yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk pergi ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Untuk rekod, Piala Remaja Asia (Wanita) adalah perlawanan bagi kelayakan Piala Dunia Remaja Wanita dengan tiga slot menjadi rebutan bagi negara Asia dan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Korea, Chinese Taipei serta Uzbekistan manakala Kumpulan B menampilkan Jepun, China, Hong Kong China, Indonesia dan Kazakhstan
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.