Jaga kebersihan, elak dikompaun – MBMB
BANDARAYA MELAKA 31 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan empat Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) terhadap premis perniagaan di sekitar Taman Melaka Raya atas kesalahan tidak menjaga kebersihan.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata notis itu diberikan pada Operasi Bandaraya Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS) yang dijalankan semalam (Selasa) bermula jam 9 hingga 11 malam.
“Sebanyak empat NPK dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Seksyen 47 (1) (a), Akta 133, Jalan Parit Dan Bangunan 1974 dan satu Notis Untuk Tindakan (NUT) berkenaan sampah longgok dan kebersihan premis.
” Tindakan penguatkuasaan terhadap orang awam yang menyalahi undang-undang berkaitan kebersihan di tempat awam akan dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Operasi itu diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan, Jabatan Landskap Dan Pengindahan Bandaraya MBMB, Noor Azran Nordin dan 20 anggota Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya.
Dalam pada itu, Shadan berkata pihaknya sentiasa mengingatkan peniaga di sekitar Taman Melaka Raya untuk menjaga kebersihan di hadapan masing-masing.
“Orang ramai (juga) dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan di kawasan persekitaran dengan tidak membuang sampah di luar tong sampah yang disediakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.