Bandaraya baharu Melaka di koridor M-WEZ
Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat
TANJUNG BIDARA 31 Mei – Sebuah bandaraya baharu bakal diwujudkan menerusi pembangunan Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka atau Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) di kawasan tambakan laut seluas lebih 10,117 hektar.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bandaraya baharu itu bakal memacu penghijrahan penduduk dan merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan tersebut, yang mana limpahannya dapat dirasai seluruh rakyat negeri ini.
Justeru, beliau meminta semua pihaknya, khususnya rakyat dan pemain industri untuk memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan yang sedang dirancang.
“Insya-Allah, dalam tempoh 20 tahun akan datang, kawasan ini bakal menjadi bandaraya sepenuhnya dan memberi pelbagai manfaat dan suntikan ekonomi terbaik kepada rakyat.
“Saya akan membuat kajian terperinci bagi kewujudan bandaraya baharu khususnya memberi penekanan kepada pengurusan masyarakat yang lebih efisien, pengurusan sisa pepejal yang lebih baik, selain pembekalan tenaga, air dan telekomunikasi juga perlu seiring dengan pembangunan yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas bersama sebuat syarikat televisyen tempatan di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, selain bandaraya baharu, jajaran M-WEZ juga bakal diangkat menjadi sebuah pelabuhan pesisir pantai Asia Tenggara yang dikenali sebagai Melaka Gateway.
Jelasnya, pelabuhan tersebut dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan ia bakal menjana ekonomi baharu dari sudut pelancongan menerusi kapal-kapal persiaran yang bakal berlabuh.
“Sebenarnya, di Melaka Gateway terdapat banyak perancangan yang mahu kita lakukan seperti pelabuhan laut dalam, pelabuha kontena, limbungan kapal (shipyard) dan lain-lain aktiviti berkaitan maritim.
“Semua ini kita sedang teliti dan kita amat berharap ia dimasukkan ke dalam Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dan menjadi projek mercu di peringkat Persekutuan bagi membantu Negeri Melaka menjana ekonomi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
1871