Kampung di Melaka bakal ada kod QR
TANJUNG BIDARA 31 Mei – Melaka bakal menjadi perintis kampung digital menerusi pelaksanaannya tidak lama lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya, ia diilhamkan selepas mendapati kebanyakan kampung tradisional di negeri ini masih menggunakan alamat dengan sistem perbatuan yang diamalkan sebelum merdeka.
Ia katanya telah memberi kesukaran dalam aspek penghantaran hingga menyebabkan surat-menyurat mahupun barangan terpaksa dihantar ke surau, masjid atau kedai runcit berhampiran dan bukannya terus ke rumah penerima.
Justeru, kata beliau, menerusi sistem kampung digital yang akan diperkenalkan kelak, semua rumah di kampung-kampung akan diberikan nombor secara tersusun menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka.
“Kaedah yang akan kita laksanakan ialah, kampung-kampung di sebelah kanan arah utara akan diberikan nombor genap, manakala kampung di sebelah kiri arah utara diberikan nombor ganjil.
“Untuk itu, kita akan bekerjasama dengan JPN untuk mengubah alamat rumah-rumah ini kepada nombor dalam tempoh enam bulan atau setahun dan selepas itu secara automatik segala urusan surat-menyurat akan berubah mengikut alamat penduduk di kad pengenalan, sekali gus memudahkan urusan penghantaran.
“Malah, setiap rumah di kampung yang telah ditransformasi kepada kampung digital bakal menerima kod QR, iaitu alamat rumah mereka yang hanya perlu diimbas menggunakan telefon pintar untuk ke lokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kampung halamannya, iaitu Kampung Pulau akan menjadi perintis pelaksanaan kampung tersebut.
Tambah beliau, sekiranya ia berjaya direalisasikan kelak, pihaknya akan menjadikan Melaka sebagai model perintis pelaksanaan kampung digital di seluruh negara.
“Insya-Allah saya akan menjemput Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menyempurnakan kampung digital pertama di Malaysia dan seterusya membawa idea itu ke peringkat persekutuan untuk dilaksanakan di kampung-kampung tradisional seluruh negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.