Star Vendors mohon maaf
AYER KEROH 30 Mei – Star Vendors Event Sdn. Bhd. tampil membuat permohonan maaf susulan insiden tarian tidak sopan yang berlaku semasa penganjuran festival anjuran pihaknya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Video yang memaparkan pengasas produk kontroversi menari dengan aksi menghairahkan tular di media sosial dan mendapat reaksi negatif masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors Event, Datuk Saripah Raziah atau lebih dikenali sebagai Ifa Raziah berkata, insiden itu adalah tidak disengajakan dan ia berlaku tanpa pengetahuan Starvendors.
Beliau berkata, pihaknya amat menyesali kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan insiden terbabit.
“Segala gerak tari oleh pelaku diatas pentas adalah diluar kawalan kami dan untuk pengetahuan, mereka tiada kaitan mahupun mewakili syarikat kami.
“Oleh itu dengan rasa rendah diri, kami memohon maaf secara terbuka kepada Kerajaan Negeri Melaka dan seluruh rakyat Malaysia khususnya diatas kekhilafan yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan media.
Menurutnya, pihaknya juga sudah dihubungi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan aduan orang awam berhubung kejadian tarian tidak sopan dan mencolok mata.
“Kami juga sudah menjelaskan kepada JAIM mengenai insiden itu. Kami akan mengambil perhatian sewajarnya atas aduan itu dan komited untuk memastikan ianya tidak berulang lagi di masa hadapan selain berterima kasih diatas teguran itu,” katanya.
Terdahulu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu dan meminta Star Vendors Event membuat kenyataan maaf secara terbuka terutama kepada rakyat Negeri Melaka.
Katanya, Kerajaan Negeri menyokong segala program yang menarik pengunjung ke Negeri Melaka namun ia bukan lesen untuk melanggar garis panduan ditetapkan.
“Sensitiviti rakyat Negeri Melaka harus menjadi keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.