Sorting by

×

NTW bakal jadi acara tahunan Melaka, lonjak kualiti pekerja mahir

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Kerajaan Negeri menyokong usaha memperkasa pembelajaran berterusan yang diperkenalkan pada program latihan kebangsaan, National Training Week (NTW) 2023 yang diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), 22 hingga 28 Mei ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata Kerajaan Negeri juga komited dalam usaha memperkasa dan meningkatkan kualiti kemahiran pekerja dan memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks.

Katanya, hasil usaha dari NTW 2023 itu dapat melahirkan tenaga kerja yang kompetitif di negeri ini.

“Menerusi NTW ini saya harap usaha kerajaan dan pihak swasta dalam mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran pekerja akan terus diperkasa, dan semua pihak akan bekerjasama untuk mencapai matlamat kita dalam menjadi negara maju yang berdaya saing tinggi.

“Melaka merupakan negeri yang terlibat aktif dalam latihan sumber manusia dan menerusi NTW ini juga saya difahamkan akan ada kursus melibatkan pendidikan latihan dan vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran National Training Week (NTW) 2023 di Kampus Teknologi UTeM, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Rony Ambrose Gobilee, Pengarah PERKESO, Abd Razak Omar dan Pengarah Projek Forum Keusahawanan Teknikal Wanita, Ts, Dr Nurul Hanim Razak serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hee Sem turut memaklumkan hasrat untuk mengangkat program latihan kebangsaan NTW itu menjadi acara tahunan.

Jelasnya, acara tersebut boleh diadakan setiap tahun kerana ia memberi manfaat kepada warga Melaka untuk mengasah kemahiran selari dengan perkembangan dunia teknologi.

“Dunia semakin berkembang dengan pesat. Melihatkan kepada perkembangan teknologi masa kini, industri memerlukan tenaga kerja yang tangkas dan sentiasa mengemaskini kemahiran mereka.

“Jadi saya berhasrat untuk mengangkat program ini menjadi acara tahunan untuk memberi manfaat kepada warga Melaka mengasah kemahiran sekali gus dapat memperkasakan pekerjaan, pembelajaran dan pembangunan yang berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1499
Kongsi :
Previous post NTW2023 tawar lebih 100 kursus, nilai latihan RM10 juta
Next post Forum KTW pacu transformasi usahawan teknikal wanita
Ubah saiz-+=