Sorting by

×

Tekanan lambakan hotel di Melaka hadapi kekurangan pekerja

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Kebanyakan hotel di Melaka berdepan isu kekurangan tenaga pekerja berikutan impak daripada penularan pandemik COVID-19 hampir tiga tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH-Melaka Chapter), Mohd Huzaidy Adnan berkata, kewujudan sektor ekonomi gig menambah tekanan dan cabaran buat sektor perhotelan negeri selepas rata-rata pekerja yang hilang pekerjaan telah beralih arah kepada bidang terbabit.

“Kewujudan sektor ekonomi gig menyebabkan kita sukar mendapatkan pekerja yang berkualiti.

“MAH Melaka Chapter yang terdiri daripada 62 ahli dalam kalangan hotel tiga bintang ke atas menyatakan masalah sama di mana kami mendapat kekangan dalam masalah kekangan mendapat pekerja.

“Setakat ini ia tidak mencacatkan operasi hotel namun kita perlu perkuatkan lagi lebih-lebih lagi sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kita perlu mengorak langkah mencari semua pekerja yang berhenti kerana ramai yang berkualiti telah memasuki dalam bidang industri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Peluang Kerjaya Dalam Sektor Perhotelan Bersama Institusi Pengajian Tinggi Di Melaka di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, tamparan sama juga turut dihadapi dalam kalangan penggiat perhotelan bajet di negeri ini yang mengakui krisis kekurangan pekerja berlaku sejak pasca penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MhBHA) Melaka, Norsalenawaty Mohammad Salleh berkata, kemasukan lebih banyak pekerja dalam pelbagai bahagian operasi diperlukan bagi memastikan hotel boleh berjalan sepenuhnya.

“Bagi berdepan dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kita mahu hotel beroperasi sepenuhnya kerana masalah ini sebenarnya lebih kritikal pada tahun lepas sehingga menyebabkan jika ada 100 bilik, hotel bajet terpaksa beroperasi 50 bilik saja sebab krisis ini.

“Jadi apa yang pengusaha hotel bajet perlu laksanakan adalah mereka terpaksa berdepan sendiri, pemilik hotel kena bekerja sekali selain pekerja sedia ada perlu ‘multi-tasking’ untuk pastikan hotel beroperasi.

“Ketika pandemik melanda banyak hotel bajet terpaksa tutup dan pekerja ada yang terpaksa bekerja seperti pemandu e-hailing, penghantar makanan dan sebagainya dan apabila kita panggil mereka semula mereka seolah tidak mahu di atas alasan takut akan perkara sama berulang kembali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1262
Kongsi :
Previous post Kebolehpasaran graduan pendidikan khas Melaka meningkat
Next post Buka peluang graduan sertai industri perhotelan
Ubah saiz-+=