Melaka gesa pembinaan loji WTE di Sungai Udang dilaksanakan segera
SUNGAI UDANG 22 Mei – Kerajaan Negeri Melaka menggesa pengendali projek pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sungai Udang menyegerakan proses pembinaan loji tersebut secepat mungkin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia memandangkan kelewatan membina loji WTE yang menelan kos lebih RM700 Juta itu dikhuatiri akan menggugat keharmonian penduduk setempat dengan isu pencemaran berikutan lambakan pembuangan sisa pepejal semakin meningkat saban hari.
Justeru katanya, pihak terlibat termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Malakoff – Alam Flora Environmental Sdn Bhd disaran agar menyelesaikan proses rundingan komersial agar projek itu dapat dijalankan seawal tahun hadapan.
“Saya menyeru agensi terlibat menjadi pemudah cara dengan mempercepatkan proses rundingan harga dan terma-terma syarat kerana semakin lama projek ini hendak dilaksanakan, kawasan sisa pepejal ini tidak mampu lagi dapat menampung timbunan sisa pepejal yang datang melebihi 1,100 tan setiap hari.
“Di peringkat Kerajaan Negeri, saya ingat tiada masalah kerana kita telah memberi kerjasama yang baik dalam soal pengambilalihan tanah.
“Semua pihak terlibat dalam rundingan melaksanakan projek ini harus mengambil kira keresahan dan kemampuan kawasan (landfill) sedia ada ini yang semakin terhad untuk pengumpulan sisa pepejal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Loji Rawatan Sisa Pepejal (Waste To Energy) di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Muhamad Zaini Hasnan.
Ab Rauf berkata, pembinaan loji itu akan menjadi projek penggunaan teknologi WTE pertama di Melaka dalam mengurus dan mengendalikan sisa pepejal.
“Saya difahamkan ini merupakan teknologi Jepun. Jadi sekiranya dapat diselesaikan segera, rakyat akan lebih bersyukur sebab Melaka akan lebih bersih, indah dan wangi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.