Sorting by

×

Pemimpin Kanan China lawat Jonker Street

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 20 Mei – Pemimpin ketiga tertinggi China, Zhao Leji bersama delegasinya, hari ini, mengadakan lawatan kerja ke Jonker Street, di sini.

Zhao yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14 meluangkan masa kira-kira dua jam dalam rangka lawatannya itu.

Terdahulu, delegasi beliau tiba di Pejabat Jonker Walk pada jam 9.07 pagi dan mengadakan pertemuan kira-kira 30 minit di situ.

Delegasi Zhao kemudiannya dihiburkan dengan persembahan muzik dan kebudayaan yang diadakan di Pentas Utama Jonker Walk, sebelum mengadakan lawatan di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO itu.

Lawatannya itu diiringi Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Lim Ban Hong; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong dan lain-lain kenamaan.

Antara lokasi utama yang dikunjungi beliau adalah Laman Datuk Wira Gan Boon Leong, Taman Warisan Dunia Jonker Walk, Muzium Budaya Cheng Ho dan Muzium Budaya Baba Nyonya.

Pada lawatannya itu, Zhao turut menerima cenderahati unik iaitu botol yang berisi pasir dari Selat Melaka dan air dari Perigi Hang Li Po di Bukit Cina.

Malah, kehadiran beliau dan delegasi turut mencuri tumpuan pelancong di kawasan itu, khususnya pelancong dari Republik China yang teruja melihat pemimpin ketiga tertinggi negara mereka dari jarak dekat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1478
Kongsi :
Previous post 200 warga Pusat Perubatan Klebang rai Aidilfitri
Next post Delegasi China tinjau Selat Melaka
Ubah saiz-+=