Kembalikan senyuman anak yatim di Aidilfitri
MELAKA 20 Mei – Meskipun Aidilfitiri hampir ke penghujung namun Hospital Pantai Ayer Keroh tidak melepaskan peluang untuk mengembalikan senyuman golongan kurang berkemampuan dengan meraikan sambutan itu bersama mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Yew Aik berkata, pihaknya mengambil peluang untuk berbakti kepada masyarakat dengan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim Kompleks Anak Yatim dan Miskin Fatimah Al-Zahrah baru-baru ini.
Katanya, selain memeriahkan sambutan itu, Hospital Pantai Ayer Keroh turut menyampaikan sumbangan kelengkapan asas bagi mengurangkan beban golongan terbabit.
“Kita juga mengambil peluang menghulurkan sedikit sumbangan berbentuk kewangan bagi membolehkan kompleks tersebut menjalankan kebajikan dalam kalangan penghuninya.
“Hospital Pantai Ayer Keroh berbesar hati diberi kesempatan ini untuk memberikan senyuman kepada anak-anak itu kerana mereka inilah penyambung warisan generasi hadapan, dan kita perlu menjalankan amanah dan menghulurkan bantuan selagi termampu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Yew Aik berkata sumbangan kelengkapan asas itu adalah hasil kutipan derma orang ramai menerusi program korporat yang dianjurkan oleh unit kejururawatan hospital.
“Selain inisiatif dilakukan oleh unit berkenaan, Pengarah Kejururawatan Hospital Pantai Ayer Keroh, Sriyusni Yusup turut memberikan duit raya kepada penghuni kompleks terbabit,” katanya.
Kompleks Anak Yatim dan Miskin Fatimah Al-Zaharah menyediakan perlindungan dan pendidikan kepada 29 anak-anak yatim dan kurang berkemampuan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.