SKM, ANGKASA raikan rakan strategik dalam suasana Aidilfitri
AYER KEROH 19 Mei – Tibanya penghujung Syawal tidak bermakna suasana raya turut suram ini terbukti apabila masih ramai yang mengadakan sambutan rumah terbuka bagi meraikan kenalan serta rakan strategik.
Turut tidak melepaskan peluang mengadakan sambutan hari raya adalah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Melaka.
Meskipun berlangsung pada 27 Syawal, namun kemeriahan suasana itu masih tetap dirasai pada Majlis Sambutan Aidilfitri SKM dan ANGKASA Melaka, diadakan di Ayer Keroh, di sini, semalam.
Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari, sambutan yang diadakan pada setiap tahun itu bertujuan meraikan gerakan koperasi di Melaka dan juga dengan rakan strategik.
“Kali ini kira-kira 200 wakil gerakan koperasi hadir. Ia bertujuan untuk menghargai dan mengeratkan lagi hubungan selain merasakan kebersamaan antara SKM serta ANGKASA.
“Dalam kita meraikan Syawal, menjamu hidangan secara tidak langsung juga dapat mengeratkan hubungan sesama gerakan dan pihak kami juga,” katanya.
Hadir memeriahkan sambutan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin; Naib Pengerusi Eksekutif (Pengurusan) SKM Malaysia Azam Sulaiman dan Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.