Sorting by

×

Perpustakaan jadi rumah kedua Ahmad Talhah

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BUKIT BARU 18 Mei – Kerana ‘ketagih’ membaca, perpustakaan awam di Bukit, Baru, di sini, umpama rumah kedua bagi Ahmad Talhah Ahmad Tarmizi, 13,  dan dua lagi adik beradiknya yang kerap menghabiskan masa di gedung ilmu itu setiap minggu.

Malah atas teladan ditunjukkan Ahmad Talhah, dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Membaca Terbaik 2022 Kategori Kanak-Kanak Peringkat Negeri, dalam majlis berlangsung di Perpustakaan Awam Melaka, Bukit Baru, di sini, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir ini berkata, biarpun jarak antara perpustakaan dan rumah mereka agak jauh itu bukan penghalang baginya untuk meneruskan minat membaca.

Katanya, ibu bapa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan sanggup menghantar mereka ke perpustakaan dan menghabiskan masa hampir seharian di situ.

“Saya cenderung memilih buku yang tebal, lebih seronok membaca, jalan cerita atau maklumat yang dikongsi juga lebih banyak.

“Pilihan bahan bacaan saya adalah yang berunsurkan pengembaraan, fantasi dan ilmiah berkaitan kehidupan. Secara tidak langsung saya mendapat tips kejayaan dalam kehidupan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, kejayaan Ahmad Talhah yang dinobatkan sebagai johan dalam kategori itu diumumkan dalam Majlis Perasmian Jom Membaca Bersama Untuk 10 Minit dirasmikan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Program itu juga turut dihadiri Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (Perpustam), Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.

Sementara itu ibu Ahmad Talhah, Siti Mariam Hussin, 39, berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian terbesar buat anaknya yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Naib Johan dalam kategori sama pada pada 2019.

Siti Mariam berkata, Ahmad Talhah mula menunjukkan minat membaca sejak berusia dua tahun, malah dia dan suami mengutamakan bahan ilmiah, selain meletakkan penggunaan gajet sebagai pilihan kedua untuk anak-anak mereka.

“Kalau anak-anak mahu bermain gajet kami akan hadkan penggunaannya dan lebih kepada perkara-perkara ilmiah kerana mahu mereka kuasai ilmu di dalam diri,” katanya.

“Pada kebiasaan anak-anak akan menghabiskan masa sekitar empat hingga lima jam di perpustakaan. Semuanya bergantung kepada waktu operasi perpustakaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2241
Kongsi :
Previous post ‘No right turn’ bermula Jun
Next post Membaca 10 minit setiap hari, jadikan amalan
Ubah saiz-+=