Bekas juara dunia badminton paralimpik terima Anugerah Guru OKU Berwibawa
AYER KEROH 16 Mei – Berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak berusia 18 bulan akibat penyakit polio menyerang kaki kiri bukan penghalang kepada seorang guru, Jasmi Md Tegol, 56, untuk terus mencurah bakti mendidik anak bangsa.
Guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China itu, merangkul Anugerah Guru OKU Berwibawa pada Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023 berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Atas penganugerahan itu Jasmi membawa pulang replika cek bernilai RM3,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.
“Alhamdulillah, saya menganggap kekurangan yang dimiliki ini satu kelebihan dan peluang untuk pergi lebih jauh. Sebenarnya saya aktif dalam sukan badminton dan merupakan atlet paralimpik negara.
“Saya pernah bergelar juara Dunia sekali, juara Asia sekali dan juara Kebangsaan sebanyak 18 kali bagi kategori perseorangan dan beregu.
“Pada masa sama, saya juga sehingga kini merupakan Presiden Majlis Sukan dan Rekreasi OKU Malaysia, pernah dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pada dua pentadbiran kerajaan berbeza, jadi mungkin dengan sumbangan kecil ini antara asbab saya dipilih merangkul anugerah,” jelasnya yang menjadi warga pendidik sejak 33 tahun lalu.
Meskipun bergantung kepada bantuan tongkat untuk berjalan Jasmi, tidak pernah lemah semangat untuk mendidik anak muridnya.
Nasihatnya kepada mereka berstatus OKU agar jangan sesekali menjadikan kekurangan diri sebagai batu penghalang untuk pergi lebih jauh dalam kehidupan.
“Sebagai seorang guru dengan keadaan fizikal seperti ini saya tidak melihat ia satu kesukaran untuk mengajar dan bergerak aktif dalam sukan, bahkan dalam keadaan diri begini saya juga mampu mengendalikan motosikal berkuasa tinggi 1,000 dan 1,500 cc.
“Dengan mengatasi kesukaran tersebut kita mampu pergi lebih jauh, prinsip saya di mana ada kemahuan di situ ada jalan, di mana ada cahaya di situ ada harapan.
“Oleh itu, saya tidak rasa rendah diri untuk bersaing dengan siapa sahaja, sebab itu prinsip hidup perlu kuat, jangan apabila kita ada kekurangan, kita jadikan itu sebagai modus untuk merintih, meminta-minta,” katanya.
Ends//
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.