Sanggup pergi rumah ke rumah pujuk anak murid datang sekolah
AYER KEROH 16 Mei – Sanggup menebalkan muka pergi rumah ke rumah semata-mata untuk memujuk murid Orang Asli datang ke sekolah demi menimba ilmu.
Itu bukanlah drama swasta, sebaliknya ia pengorbanan sebenar seorang guru, Khairul Nizam Aseh, 39, sejak bergelar pendidik selama 13 tahun.
Dia yang juga guru Orang Asli dari suku kaum jakun di Pahang berkata, walaupun pernah bekerja dalam bidang perikanan di sebuah syarikat swasta di Rompin dengan gaji yang lebih besar, namun dia nekad meninggalkan kerjaya itu demi masa depan masyarakat Orang Asli di kampungnya.
Katanya, tindakan itu diambil selepas menyaksikan semakin ramai anak-anak Orang Asli tidak hadir ke sekolah apabila pulang ke kampung halamannya di Paya Bungor, Maran, Pahang.
“Bermula dari itu, saya memohon KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) dan akhirnya saya diterima masuk dan rezeki saya ditempatkan di sekolah kampung halaman sendiri iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor.
“Jadi, apa yang saya lakukan apabila bergelar pendidik ialah saya akan pergi dari rumah ke rumah untuk pujuk mereka (murid). Ada yang enggan ke sekolah kerana tiada pakaian seragam sekolah, jadi saya ambil inisiatif belikan baju untuk mereka.
“Ada juga suatu ketika pada 2017, ada murid yang tidak hadir peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), jadi saya dan pentadbir datang ke rumah untuk pujuk dan rupanya dia (murid) tidak hadir kerana pakaian seragamnya basah. Kisah itu pernah tular pada waktu itu kerana ramai terharu dengan kisah tersebut,” katanya yang merupakan guru Pendidikan Jasmani.
Pengorbanan yang dilakukan Khairul Nizam akhirnya berbalas apabila dia dicalonkan oleh anak muridnya sendiri untuk menerima Anugerah Guru Inspirasi (AGI) pada majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Anugerah itu melayakkannya menerima trofi, wang tunai RM5,000 dan peruntukan tambahan RM5,000 untuk menaik taraf bilik guru SK Paya Bungor yang disampaikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Bapa kepada lima anak itu mengakui terkejut apabila dimaklumkan menjadi penerima anugerah itu kerana merasakan ada lebih ramai guru-guru lain yang lebih layak.
“Memang saya tak sangka kerana anugerah ini terlalu besar. Saya hanya seorang guru biasa sahaja kerana ada lebih ramai lebih baik daripada saya di luar sana.
“Tapi apapun, saya bersyukur kerana anak murid menghargai pengorbanan saya dan saya percaya anugerah ini bukan sahaja memberi semangat kepada saya, bahkan kepada semua pendidik untuk terus menabur jasa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Tuan Saripah Nor Riha Tuan Jaafar, 55, turut terharu apabila jasanya kepada pelajar istimewa (buta dan rabun) ketika berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah, 23 tahun lalu melayakkannya menerima anugerah tersebut.
Katanya, dia tidak menyangka walaupun sudah lebih dua dekad berlaku, azimat berharga yang dititipkan kepada pelajar berkenaan masih segar diingatan sehingga menjadi insan berjaya pada hari ini.
“Pelajar tersebut mempunyai masalah penglihatan genetik menyebabkannya tidak boleh melihat ketika siang dan pada waktu malam penglihatannya kabur. Jadi, saya cuba membantu mendapatkan tajaan kepadanya untuk melakukan pembedahan, selain tajaan peralatan untuk pelajar istimewa sepertinya.
“Malangnya, pembedahan itu tidak dapat dilakukan atas beberapa faktor. Pada ketika itu dia baru berumur 15 tahun, dan saya nampak walaupun penglihatannya gelap, tapi hatinya terang.
“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk memberi tumpuan lebih kepadanya dan rakan-rakan yang senasib dengannya yang mana setiap kali selepas kelas, saya akan bercerita semula kepada mereka tentang sesuatu subjek itu, sehinggalah dia berjaya memperoleh keputusan yang baik dalam PMR (Penilaian Menengah Rendah),” katanya.
Katanya, selepas itu, dia tidak lagi mengajar di sekolah terbabit kerana berpindah mengikut suaminya.
Namun, selepas 22 tahun, mereka dipertemukan kembali apabila pelajar itu menghubunginya kembali untuk berbuka puasa bersama-sama pada tahun lalu.
“Dia kata, dia masih ingat kata-kata saya yang mahukan dia berusaha 10 kali ganda lebih daripada orang biasa. Mungkin pada kita ayat itu biasa-biasa, tetapi ia menusuk di jiwanya yang sentiasa ingat pesanan itu.
“Sebab itulah dia kini berjaya menjadi seorang pensyarah Bahasa Korea di sebuah universiti awam di Lembah Klang dan saya sangat bangga dengannya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.