Sorting by

×

Politeknik Melaka pindah ke Lendu tunggu peruntukan UPE

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

LENDU 15 Mei –  Permohonan pembinaan bangunan Politeknik Melaka yang akan berpindah ke Lendu sudah mendapat kelulusan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata permohonan pembinaan itu bagaimanapun masih menunggu kelulusan peruntukan pada peringkat Unit Perancang Ekonomi (UPE).

Katanya, pembinaan politeknik tersebut akan dibina di atas  tanah seluas 40 hektar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Saya harap pembinaan Politeknik Melaka yang hampir 20 tahun sehingga kini masih lagi menyewa bangunan di lot rumah kedai di Plaza Pandan Malim akan direalisasikan untuk mempunyai bangunannya sendiri dalam kawasan Lendu.

“Lokasi kita sudah kenal pasti namun akan dimaklumkan selepas menerima kelulusan dan status permohonan pembinaan sehingga kini adalah menunggu kelulusan dari pihak UPE,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Lendu yang diadakan di Japerun Lendu malam tadi.

Majlis rumah terbuka itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta tetamu kenamaan lain.

Majlis rumah terbuka itu menyediakan lebih 29 gerai yang menyediakan pelbagai juadah hari raya untuk disajikan kepada kira-kira 9,000 pengunjung.

Terdahulu, pada Julai 2020, Melaka Hari Ini melaporkan Kerajaan Negeri bercadang memindahkan Politeknik Melaka di Plaza Pandan Malim ke Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) atau kini dikenali sebagai Universiti Melaka (UniMel) di Kuala Sungai Baru.

Namun perkara itu tidak dapat dilaksanakan atas faktor kekangan tanah di kawasan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1742
Kongsi :
Previous post Penerbangan domestik di LTAM akan diaktifkan
Next post Ada berita gembira menanti warga pendidik esok – Menteri
Ubah saiz-+=