Tradisi kacau dodol semarak raya Pantai Kundor
PANTAI KUNDOR 14 Mei – Tradisi kacau dodol masih dihidupkan pada penghujung Syawal, apabila ia menjadi antara keunikan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor yang diadakan di Padang Petanque MBMB, di sini, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, makanan tradisi itu ditampilkan memandangkan ia merupakan acara tahunan yang diadakan masyarakat di kawasan itu.
“Kita boleh lihat walaupun pelbagai juadah disediakan, gerai dodol paling mencuri tumpuan pengunjung yang mahu merasai dodol cair yang dihidang panas-panas.
“Malah, kita turut bertuah kerana Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam turut bersama mengacau dodol bersama masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Tun Mohd Ali tiba di majlis tersebut kira-kira jam 9.45 malam dan sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni orang ramai serta petugas di majlis berkenaan.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.
Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang yang hadir memeriahkan majlis pada tahun ini.
Menurutnya, sambutan yang diterima benar-benar di luar jangkaan apabila pengunjung mula membanjiri perkarangan majlis sebelum jam 8 malam.
“Alhamdulillah, kita melihat sambutan tahun ini cukup luar biasa dan boleh saya katakan ia jauh melebihi tahun lalu.
“Saya amat seronok sekali melihat orang ramai dapat bersama-sama kita meraikan kemeriahan Aidilfitri walaupun majlis diadakan pada penghujung Syawal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.