Sorting by

×

Pelaburan saham akhirat

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

MASYARAKAT pada zaman kini berlumba-lumba mencari pelaburan yang boleh memberikan pulangan dan keuntungan yang tinggi. Namun, amat rugi bagi mereka yang mengutamakan pelaburan di dunia berbanding pelaburan di akhirat.

Pelaburan saham di akhirat sangat besar manfaatnya kerana selain dapat membantu orang lain, kita juga boleh mendapat pahala yang boleh membawa kita ke syurga.

Persoalannya, apakah usaha yang boleh dilakukan untuk menggandakan pelaburan akhirat?

Allah SWT telah menjanjikan satu pelaburan yang pastinya tidak akan merugikan terutamanya di akhirat kelak. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah As-Saff ayat 10-11 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah SWT dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Pelaburan yang terbaik adalah mereka yang membelanjakan harta mereka ke jalan Allah SWT serta mengorbankan diri mereka untuk membela agama.

Membelanjakan harta ke jalan Allah SWT boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti zakat, infak, sedekah, wakaf, korban dan lain-lain. Setiap bentuk perbelanjaan mempunyai kelebihan dan faedah yang berbeza. Zakat adalah kewajipan bagi setiap muslim yang berkemampuan. Membelanjakan harta ke jalan Allah SWT melalui zakat bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penerima zakat, bahkan juga kepada orang yang menunaikan zakat. Menunaikan zakat dapat mewujudkan nilai keikhlasan dan keprihatinan terhadap orang lain.

Antara kelebihan dan faedah membelanjakan harta ke jalan Allah SWT melalui zakat adalah dapat meningkatkan sifat kedermawanan dan menjauhi sifat bakhil. Bakhil adalah sifat buruk dalam Islam yang mendorong seseorang untuk sentiasa mengumpul harta dan tidak berkongsi dengan orang lain. Dengan membayar zakat, kita belajar untuk menyerahkan sebahagian harta kita untuk membantu orang lain. Ini membantu kita menjadi orang yang lebih pemurah.

Selain itu, melalui pembayaran zakat juga dapat membantu meningkatkan ekonomi umat Islam. Zakat yang dibayar akan diagihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan. Oleh yang demikian, hasil zakat ini dapat membantu memenuhi keperluan harian mereka. Dalam jangka masa panjang, ia dapat membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi umat Islam.

Sebagai manusia, sudah tentu kita tidak akan lari dari melakukan dosa. Sama ada sedar atau tidak, kita pasti pernah melakukan kesilapan. Bagi orang yang menunaikan zakat bukan sahaja mendapat pahala, malah dosa-dosanya yang lalu juga diampuni. Hal ini disebut dalam hadis nabi yang diriwayatkan oleh Tirmidzi yang bermaksud: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu pintu kebaikan? Iaitu puasa itu adalah benteng dan sedekah itu akan memadamkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api.” (HR. at-Tirmidzi)

Kesimpulannya, pelaburan saham akhirat adalah pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat bukan sahaja untuk diri sendiri malah kepada masyarakat sekeliling. Membelanjakan harta ke jalan Allah SWT melalui zakat merupakan satu kewajipan yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim. Selain daripada perintah Allah SWT, zakat juga mempunyai manfaat yang cukup besar untuk kehidupan umat Islam di dunia dan akhirat. Justeru, marilah kita sama-sama meningkatkan keprihatinan terhadap orang lain untuk menunaikan kewajipan zakat dengan bersungguh-sungguh tanpa berlengah-lengah menunaikannya.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.

(Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil)

Ketua Pegawai Eksekutif,

Zakat Melaka,

Majlis Agama Islam Melaka

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2293
Kongsi :
Previous post Kapal bersauh di zon perikanan Melaka berdepan tindakan tegas
Next post Ternakan kupang bantu nelayan Pantai Kundor
Ubah saiz-+=