Sorting by

×

Kapal bersauh di zon perikanan Melaka berdepan tindakan tegas

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Mei – Kerajaan Negeri memandang serius aduan mengenai kapal-kapal besar yang didakwa bersauh di zon perikanan negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia berikutan tindakan tersebut secara tidak langsung menjejaskan hasil tangkapan nelayan.

Justeru, beliau memberi tempoh masa dua minggu kepada Jabatan Laut negeri ini untuk penerangan kepada nelayan mengenai kawasan pewartaan membabitkan zon menangkap ikan dan zon kapal berlabuh.

“Dimaklumkan pewartaan zon nelayan dan zon kapal bersauh sudah ada sejak lama justeru Kerajaan Negeri amat serius dalam hal ini. Kita tidak mahu kapal-kapal yang masuk ke Selat Melaka ini melanggar pewartaan ditetapkan.

“Jadi kita minta dalam tempoh dua minggu Jabatan Laut ini untuk memanggil semua nelayan di Pantai Kundor untuk diberikan penerangan berkaitan pembahagian zon ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santai Raya Nelayan Tanjung Kling yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim di Balai Nelayan Tanjung Kling, di sini, hari ini.

IMG_20230513_170128_162
PANTAI KUNDOR 13 Mei – Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Dr Muhamad Akmal Saleh bergambar bersama nelayan sempena Majlis Santai Raya Nelayan Tanjung Kling di Balai Nelayan Tanjung Kling. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana kapal yang didapati bersauh di luar zon diwartakan sekiranya menerima maklumat.

“Kita akan ambil tindakan yang sangat tegas kerana tindakan itu memberi kesusahan kepada nelayan terutama nelayan pukat hanyut.

“Apabila mereka melanggar atau masuk ke tempat yang tidak sepatutnya ia memberi masalah kepada nelayan jadi kita meminta kerjasama nelayan sekiranya ada zon perikanan dimasuki kapal yang bersauh segera maklumkan kepada Jabatan Laut,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya juga meminta Jabatan Laut untuk membuat pemantauan dengan lebih kerap di zon yang telah diwartakan.

“Kita tidak mahu tindakan ini mengganggu periuk nasi nelayan selain kerana apabila mereka melanggar atau memasuki tempat yang tidak sepatutnya bukan tempat mereka maka ia memberi masalah kepada nelayan,” katanya.

Selain itu katanya, penerangan mengenai radius kawasan taman laut Pulau Undan yang diwartakan turut akan diadakan bersama nelayan.

“Perkara ini juga perlu diberikan penerangan kerana ia baru diwartakan dan nelayan keliru dengan kawasan yang dibenarkan untuk mereka menangkap hasil laut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1234
Kongsi :
Previous post MPAG tingkat tahap kebersihan, keceriaan di Alor Gajah
Next post Pelaburan saham akhirat
Ubah saiz-+=