Sorting by

×

MPAG selesai 1,328 aduan tahun lalu

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

ALOR GAJAH 13 Mei – Sebanyak 1,328 aduan awam berjaya diselesaikan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu merangkumi keseluruhan 1,582 aduan yang diterima daripada masyarakat di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, terdapat baki 132 aduan awam tersebut memerlukan masa untuk diselesaikan disebabkan ia membabitkan peruntukan dan selebihnya sedang diselesaikan.

“Saya amat berharap agar masyarakat tempatan dapat memahami jika dimaklumkan isu aduan tersebut perlu mengambil masa untuk diselesaikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perbandaran Alor Gajah Ke-20 di Dataran MPAG, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan dan Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut meminta semua PBT di Melaka meningkatkan tahap kebersihan agar rakyat dapat menikmati suasana yang bersih dan ceria di kawasan pentadbiran masing-masing.

Kata beliau, semua PBT bersiap sedia untuk melaksanakan ‘Gotong-Royong Perdana’ bagi menggamit pelancong ke Negeri Melaka sekali gus sebagai persiapan awal menyambut Tahun Melawat Melaka 2024.

“Berkait itu, saya dimaklumkan, MPAG telah mewujudkan ‘Task Force Sampah Longgok’ untuk menyelesaikan isu kutipan sampah tepi jalan dan ‘Task Force Tandas Awam 5 Bintang’.

“Inisiatif seperti ini perlu dijadikan contoh kepada PBT-PBT lain agar seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka untuk terus menjadikan Melaka sebagai negeri yang bersih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1450
Kongsi :
Previous post Mudir, warden pusat tahfiz direman empat hari
Next post MPAG tingkat tahap kebersihan, keceriaan di Alor Gajah
Ubah saiz-+=