Acu pistol, pekerja kedai telefon dipenjara lapan bulan
Low Zhao Yuan, 29, didakwa telah menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 25, di tepi jalan, berhadapan bangunan Melaka Mall, Jalan Lebih Ayer Keroh di sini, kira-kira 12 tengah malam pada 28 April lepas.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan mengandungi enam butir peluru di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala tertuduh diwakili peguam James S Thanjong Tuan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.