BKSA Melaka sedia pelan hadapi musim kemarau

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat
AYER KEROH 8 Mei – Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA) mengambil langkah bersedia menghadapi musim kemarau susulan fenomena El Nino yang dijangka bermula Jun depan.
Pengarah Sumber Air Faizah Abdul Rahman berkata, pihaknya telah bersiap siaga dengan pelan menghadapi musim kemarau yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa.
Jelasnya, antara pelan yang bakal dilaksanakan ialah melakukan pengepaman air tambahan dari Sungai Muar, sekiranya berlaku penyusutan paras air di empangan-empangan utama Negeri Melaka.
Pada masa sama, ujarnya, paras kolam takungan alternatif seperti di Tasik Ayer Keroh, Kolam Kesang dan Kolam Tebat Jasin akan terus dipantau dan dimaksimumkan bagi menghadapi musim kemarau itu nanti.
“Alhamdulillah setakat ini, semua empangan utama negeri dan kolam takungan alternatif kita berada di paras maksimum.
“Kita juga sentiasa bersedia melakukan pengepaman air dari Sungai Muar, Johor sekiranya tiada hujan dalam tempoh yang lama,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Pada masa sama, beliau berharap orang ramai di negeri ini dapat melakukan penjimatan air meskipun paras air di empangan masih tinggi pada ketika ini.
“Kita harap pengguna dapat menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat bermula sekarang dan tidak perlu menunggu sehingga tiada air.
“Kalau boleh elakkan sebarang pembaziran kerana kita mahu amalan berjimat cermat itu dipupuk bermula sekarang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1584
Kongsi :
Previous post Semakan status bintang hotel Melaka selesai hujung tahun ini
Next post Acu pistol, pekerja kedai telefon dipenjara lapan bulan
Ubah saiz-+=