Sorting by

×

TMM2024: Melaka sasar RM30 juta daripada pelancong Timur Tengah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 8 Mei – Melaka menyasarkan kehadiran 21,000 pelancong dari Timur Tengah pada tahun hadapan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding 15,000 pelancong sebelum ini, yang mana ia diunjur hasil kejayaan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama empat agensi pelancongan dari Timur Tengah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyasarkan pendapatan sebanyak RM30 juta daripada pelancong Timur Tengah yang berkunjung ke negeri ini.

“Perjanjian MoU yang dimeterai bertujuan meningkatkan kerjasama dan memperluaskan jaringan pemasaran pelancongan antara ahli MATTA dengan agensi pelancongan dari Timur Tengah.

“Melaka akan menjadi destinasi pilihan utama pelancongan dalam kalangan pelancong Timur Tengah khususnya bagi pelancongan kesihatan, rekreasi, ekopelancongan dan bulan madu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Melaka Menandatangani Kerjasama Pelancongan Bersama Agensi Pelancongan Dari Timur Tengah di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Kota Cemerlang di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar BPP, Sa’ari Basiron dan Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, Negeri Melaka juga bakal menjadi destinasi baharu buat pelancong Timur Tengah ke negara ini.

“Menerusi MoU ini juga, Melaka bakal menjadi destinasi baharu buat pelancong Timur Tengah kerana kebiasaan mereka ke Malaysia hanya bertumpu ke Kuala Lumpur, Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.

“Jadi Melaka bakal menjadi satu destinasi pilihan utama baharu buat pelancong Timur Tengah menjelang tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1536
Kongsi :
Previous post Abang polis balik kampung demi mengoca
Next post Semakan status bintang hotel Melaka selesai hujung tahun ini
Ubah saiz-+=