Sorting by

×

Proses pemutihan, majikan diminta tampil carum pekerja

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

LENDU 6 Mei – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan kesemua majikan di negeri ini mendaftarkan pekerja mereka selewat-lewatnya sehingga akhir Jun depan.

Pengarah Perkeso negeri Abd Razak Omar berkata, proses pemutihan itu berjalan selama dua bulan bermula awal Mei.

“Terdapat kira-kira 42,000 majikan yang sudah mendaftar dan mencarumkan pekerja mereka yang keseluruhan seramai 320,000 di Negeri Melaka. Dianggarkan berbaki 18 peratus yang masih gagal berbuat demikian.

“Oleh itu dalam tempoh dua bulan ini kita minta untuk mereka tampil walaupun hanya menggaji seorang pekerja. Majikan perlu mendaftar dan mencarumkan individu yang diambil bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan Skuad Perkeso Prihatin ke rumah waris penerima Faedah Pengurusan Mayat di Kampung Solok Duku, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Siti Faizah Abd Azis serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali,

Abd Razak berkata, bermula 1 Julai operasi besar-besaran pintu ke pintu akan dijalankan dan sekiranya didapati masih ada majikan yang ingkar tiada lagi kompromi sebaliknya kompaun akan dikeluarkan.

“Kita sudah beri tempoh dua bulan dan pada Julai operasi siang, malam akan dilakukan jika masih ada yang tidak mencarum tindakan kompaun dan pendakwaan akan dilakukan.

“Dalam operasi itu nanti kita akan pastikan tiada majikan yang akan terlepas kerana kita sebagai agensi bertanggungjawab tidak mahu hak pekerja dinafikan,” katanya.

Ujarnya lagi, alasan seperti sebelum ini antaranya hanya pekerja sambilan dan masih dalam tempoh percubaan juga tidak lagi ‘terpakai’.

“Proses pemutihan dan operasi akan dilakukan membabitkan semua sektor termasuk perkilangan dan juga runcit.

“Sebelum ini majikan memberi alasan tidak mencarum kerana individu yang digaji hanya pekerja sambilan dan masih dalam tempoh percubaan. Untuk makluman pekerja ini layak menerima perlindungan daripada Perkeso bermula dari hari pertama dia mula bekerja,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1430
Kongsi :
Previous post Misi sifar keciciran akademik Cikgu Rosli
Next post Enam anggota polis direman untuk bantu siasatan kes rasuah RM5,000
Ubah saiz-+=