Sorting by

×

Kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

IPOH, 1 Mei – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas di dalam kolam renang rumah milik jiran datuknya di Tambun di sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6.30 petang selepas abang mangsa yang berusia 15 tahun menjumpai mangsa dalam keadaan terapung dalam kolam renang tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama ibunya menziarahi ahli keluarga yang berada di sebuah rumah lot yang dimiliki oleh jiran kepada datuk mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh di sini mendapati mangsa meninggal dunia akibat mati lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Mohd Yusri berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 33(1), Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

Menurutnya kejadian itu adalah kes keempat mati lemas melibatkan mangsa kanak-kanak di daerah Ipoh pada tahun ini yang berpunca daripada ketinggalan ibu bapa atau penjaga.

“Pihak polis amat memandang serius tentang perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan sehingga menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan maut akibat lemas di dalam kolam renang rumah datuknya di Tambun, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kejadian dipercayai berlaku pada 8.45 malam selepas bapa kanak-kanak tersebut menjumpai mangsa dalam keadaan terlentang dan terapung dalam kolam renang itu. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1719
Kongsi :
Previous post Kabinet bincang isu pelaksanaan gaji minimum bulan depan – PM
Next post Jempol, Padang Terap catat cuaca panas tahap berjaga-jaga – MetMalaysia
Ubah saiz-+=