Selebriti antarabangsa promosi pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 28 April – Kerajaan Negeri menyambut baik ketibaan 42 peserta Program Miss and Mister Celebrity International 2023 di Pejabat Pelancongan Negeri, Jonker Walk, di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kehadiran peserta antarabangsa yang mewakili 40 negara itu ke Melaka dilihat mampu menjadi platform memperkenalkan produk pelancongan negeri ke persada dunia.

Katanya, kesemua peserta itu terdiri daripada pempengaruh, artis dan selebriti di negara masing-masing dengan jumlah pengikut yang ramai.

“Program Miss and Mister Celebrity International 2023 diadakan pada 24 April lalu hingga 2 Mei depan yang bertempat di Kuala Lumpur dan Melaka.

“Melaka satu-satunya negeri yang dipilih oleh Pihak Tourism Malaysia untuk memperkenalkan produk pelancongan negeri kepada peserta-peserta program.

“Program ini melibatkan peserta dari negara Belgium, Korea China, Jepun, Kazakstan dan pelbagai negara lain dan kehadiran mereka ke sini dikira sebagai duta kecil yang akan mempromosi Melaka sebagai destinasi utama pelancongan Malaysia ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Meet and Greet Miss and Mister Celebrity International 2023 di Perkarangan Pejabat Pelancongan Negeri, Jonker Walk, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Seni Warisan dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

photo1682654959
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) menyampaikan cenderahati kepada selebriti pada program International Celebrity Visit Melaka anjuran Newstar Pavilion Value Travel Sdn. Bhd. di Pejabat Tourism, Jonker Walk, Melaka. Turut serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (kiri). Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kesemua peserta termasuk krew program akan melawat lokasi-lokasi utama pelancongan Melaka.

“Peserta dan krew program akan melawat Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Muzium Baba Nyonya, Jonker Street dan beberapa tarikan pelancongan lain.

“Ia bagi memberi pendedahan tentang produk pelancongan yang terdapat di Melaka sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut memaklumkan, kesemua peserta program itu turut dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka yang akan diadakan pada 29 April (esok) bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1662
Kongsi :
Previous post TH umum 3.1 peratus agihan keuntungan bagi 2022
Next post Cuaca panas: Tangguh aktiviti luar bilik darjah – KPM
Ubah saiz-+=