Pembinaan semula LCS selepas kontrak tambahan dimuktamad – Panglima Tentera Laut
LUMUT, 27 April – Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka dapat disambung semula tiga bulan selepas kontrak tambahan keenam projek itu dimuktamadkan, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.
Beliau berkata kontrak yang sedang disediakan kementerian pertahanan itu akan melibatkan beberapa pindaan termasuk tempoh masa dan kos.
“Seperti sedia maklum mesyuarat jemaah menteri pada 19 April lalu membuat keputusan bersetuju meneruskan projek LCS, ia satu keputusan penting bagi meneruskan proses selanjutnya.
“Jika perjanjian (kontrak) itu dimuktamadkan, kita berharap projek LCS dapat dimulakan semula secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Istiadat Perbarisan Hari Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Terdahulu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata projek LCS tetap akan diteruskan dan kapal pertama dijangka beroperasi pada 2026.
Sebelum ini pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada sebuah pun kapal tersebut disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.
Sementara itu, Abdul Rahman kontrak tambahan tersebut dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Langkawi yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei depan.
Mengenai projek Kapal Misi Pesisir (LMS) pula, beliau berkata keutamaan kini diberikan kepada rancangan perolehan aset bagi menggantikan kapal TLDM yang telah usang.
“Fokus utama pada masa ini adalah perolehan LMS Batch 2 seperti yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2023.
“Aset yang kita terima daripada kumpulan pertama tidak menepati piawaian, kita jangkakan yang kedua mempunyai keupayaan tempur yang lebih baik, kita harap proses perolehan dapat dimuktamadkan segera,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.