Latihan simulasi kebakaran uji kesiapsiagaan pelajar
BUKIT BERUANG 26 April – Dua pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM) mengalami kecederaan dalam satu kejadian kebakaran di institusi pendidikan berkenaan pada jam 9.30 pagi, baru-baru ini.
Akibat kejadian itu suasana di perkarangan kolej komuniti berkenaan bertukar cemas apabila puluhan pelajar menjerit untuk meminta bantuan menyelamatkan rakan mereka yang terkandas dalam kebakaran itu.
Beberapa minit kemudian lokasi berkenaan dipenuhi kenderaan penyelamat khususnya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Ayer Keroh bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terkandas sebelum dihantar ke
Hospital Melaka.
Operasi menyelamat tamat kira-kira sejam kemudian selepas pasukan bomba berjaya memadamkan api serta semua kakitangan berjaya keluarkan dengan selamat.
Namun, situasi itu bukan kejadian sebenar sebaliknya latihan simulasi kebakaran anjuran KKBBM dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh.
Pengarah KKBBM, Muhammad Sani Che Idris berkata latihan menghadapi bencana kebakaran dan operasi menyelamat itu bertujuan bagi mendidik pelajar dan kakitangan KKBBM supaya sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi situasi cemas.
“Latihan simulasi ini penting untuk membantu warga kerja dan pelajar mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku kebakaran sama ada di institusi pengajian, tempat kerja, bangunan awam atau di rumah, terutama pada musim perayaan,” katanya.
Sementara itu Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Iskandar Neemat berkata latihan itu bagus bagi warga KKBBM agar lebih peka kerana statistik panggilan kecemasan bagi kes kebakaran pada bulan Ramadan menunjukkan peningkatan.
“Dari segi penilaian latihan simulasi yang dijalankan mencapai objektif seperti benar-benar berlaku, dengan adanya aksi, lakonan serta solekan kecederaan oleh pelajar Program Teknologi Elektrik KKBBM ini, ia memang nampak ‘real’ (betul).
“Latihan kecemasan seperti ini aktiviti bermanfaat yang dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang cara menyelamatkan diri dan menggunakan alat pemadam api ketika berlaku kebakaran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.