Sorting by

×

Agong adakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kalangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan Istana Negara.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini, sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut,” kata Ahmad Fadil.

Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan petang semalam.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ahmad Fadil menjelaskan sesi menghadap itu dimohon Muhyiddin susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

Menurutnya dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

–BERNAMA

Views:

771
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka masih ikut SOP ditetapkan MKN
Next post Kursus pra perkahwinan di Melaka ditangguhkan
Ubah saiz-+=