Rim dijangka jadi hab kraftangan dan ekopelancongan TMM2024
RIM 24 April – Komuniti batik ‘clay’ atau tanah liat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim akan diperluaskan dan dibangunkan ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata pihaknya sedang merangka untuk mengembangkan komuniti itu secara meluas dalam kawasannya.
Katanya, usaha itu bagi mengangkat komuniti tersebut sekaligus merancang untuk menjadikan DUN Rim sebagai hab kraftangan Melaka.
“Saya juga sedang merangka untuk mengangkat komuniti Batik Clay dalam kawasan Rim ini untuk pergi lebih jauh, buat masa ini hasil kraf batik ‘clay’ ini telah dibawa keluar negeri untuk pameran di negeri-negeri luar.
“Dalam tempoh tiga ke empat bulan ini, pelbagai usaha sudah dirangka dan akan dilaksanakan sekaligus akan menjadikan Batik Clay ini sebagai produk baharu pelancongan DUN Rim untuk Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rim di Dewan Alamanda, malam tadi.
Mengulas lanjut, Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwah Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri, berkata DUN Rim itu boleh diangkat menjadi kawasan sebagai hab ekopelancongan.
Jelasnya, ia kerana bentuk muka bumi dan lokasinya yang strategik.
“DUN Rim ini merupakan kawasan luar bandar dan telah digazetkan sebagai kawasan tadahan air.
“Pelbagai produk ekopelancongan yang terdapat di DUN Rim akan dibaik pulih seperti Taman Extreme Chin Chin sebelum Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Selain itu, kita juga mempunyai produk-produk tempatan yang boleh dibanggakan seperti Kafe Markisar dan beberapa produk lain akan diketengahkan selepas siap sepenuhnhya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.