Melaka cadang tubuh unit khas atasi sampah kecil – Exco Kanan
AYER KEROH 24 April – Kerajaan Negeri sedang merancang untuk menubuhkan satu unit khas bagi mengatasi isu sampah kecil atau ‘litter’ di Melaka, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim, dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Beliau yang baharu dilantik memegang portfolio tersebut kurang dari sebulan berkata, perkara itu dilakukan bagi mengembalikan Melaka sebagai negeri terbersih seperti satu masa dahulu.
“Saya selaku Exco yang menjaga pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan kebersihan di Negeri Melaka dapat dipertingkatkan khususnya pembersihan sampah ‘litter’ ini.
“Saya juga sedang merancang untuk mewujudkan satu unit khas bagi menyelesaikan masalah sampah-sampah ‘litter’ ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Rais bersama warga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarsh (MBMB) melakukan gotong-royong pembersihan sepanjang hampir 1.8 kilometer di sekitar Persimpangan Air Terjun Bukit Sebukur sehingga Persimpangan Taman Desa Baru, Peringgit.
Menurut Rais, Ops Pembersihan itu memfokuskan kepada lokasi ikonik PBT bagi menjamin kebersihan dan keceriaan negeri sepanjang Aidilfitri ini.
“Terus berkhidmat pada hari ke-3 Syawal ini, saya bersama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Setiausaha Bandaraya Azahar Mohamed melakukan Ops Pembersihan hampir 1.8 kilometer di lokasi tumpuan.
“Turut bersama menjayakan ops ini adalah Jabatan Landskap dan Kebersihan MBMB dan juga unit FRONT MBMB. Terima kasih atas komitmen semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.