Pewaris legasi songkok Melayu
DUYONG 24 April – “Perniagaan songkok ini tidak seperti barangan lain, ia perniagaan bermusim disebabkan itu memerlukan kesabaran,” itu kata pengusaha songkok Zulkifli Bujang, 42.
Menurut Zulkifli, jika perniagaan lain seperti tudung, baju dan kasut menjadi ‘buruan’ tidak kira waktu tetapi jualan songkok pula hanya akan laris pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Walaupun pada awalnya, dia mahu berputus asa dengan perniagaan itu, namun pesan orang tuanya menjadi azimat berharga untuknya meneruskan legasi pembuatan songkok.
“Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk meneruskan pembuatan songkok ini emak berpesan agar saya kena bersabar.
“11 bulan tempoh menunggu itu bukan sekejap kerana pada hari biasa kadang-kadang langsung tiada jualan namun apabila tibanya Ramadan sampai tidak cukup tangan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di premisnya di Duyong.
Dia yang juga generasi ketiga mengusahakan pembuatan songkok selepas datuk dan ayahnya berkata, dia berasa agak terkilan kerana mengambil masa yang lama untuk meneruskan legasi perniagaan songkok itu.
“Sebelum ini saya seakan tidak terlalu fokus kepada pembuatan songkok ini tetapi apabila difikirkan jika tidak diwarisi ia mungkin akan lenyap meskipun abang dan adik ada yang buat walaupun bukan dalam skala yang besar.
“Malah saya juga terfikir, jika ayah dan emak mampu membesarkan kami tujuh beradik dengan mengusahakan songkok kenapa tidak saya cuba, sayanglah kalau terhenti begitu sahaja,” katanya.
Ujar Zulkifli, sempena Ramadan dan Syawal tahun ini dia menghasilkan 7,000 songkok untuk tempahan dan dijual di Bazar Aidilfitri sekitar Melaka.
“Jumlah tempahan yang diterima banyak, boleh katakan lebih 10,000 tetapi produksi kami tidak mampu dan disebabkan itu banyak juga yang terpaksa ditolak.
“Ini pun ada yang saya ambil daripada adik dan abang bagi menampung permintaan pelanggan.
“Untuk menjaga kualiti saya hanya akan ambil dari saudara terdekat sahaja kerana pembuatan dan material digunakan sama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.