Kanak-kanak autisme jumpa Norhizam mohon bantuan
PENGKALAN BATU 4 Jun – “Saya tidak sangka dia begitu berani berjumpa Yang Berhormat (YB) dan menceritakan masalah yang kami hadapi.
“Mana tidaknya terkejut saya dibuatnya apabila tiba- tiba dia balik ke rumah dengan YB,” itu kata Faridah Abdullah, 54, menceritakan kisah cucunya Muhammad Nor Ridzwan Nor Halim, 9.
Muhammad Nor Ridzwan yang juga kanak- kanak autisme pada Ahad pergi berjumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bagi meminta bantuan agar rumah neneknya di Kampung Pasir Puteh, di sini, dibaik pulih.
Ia susulan keadaan bumbung dan siling kediaman terbabit hampir runtuh akibat dimakan anai- anai.
Murid darjah dua kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bachang itu dikatakan menumpang motosikal seorang penduduk ke Pejabat (Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu untuk bertemu Norhizam.
Menurut Faridah, keadaan rumah pusaka berusia 40 tahun yang didiaminya bersama dua cucu itu semakin uzur apabila sebahagian siling sudah runtuh.
Katanya, disebabkan kos baik pulih mencecah ribuan ringgit dia yang juga ibu tunggal tidak mampu untuk berbuat demikian.
“Apa yang saya bimbang adalah keselamatan cucu kerana risau siling itu runtuh dan menghempap mereka.
“Abang Muhammad Noridzuan yang sedang tidur nyaris terkena runtuhan siling ketika bulan puasa lalu apabila cuaca ketika itu hujan,” katanya yang kini bergantung dengan hasil jualan roti canai.
Katanya, sebelum ini cucunya itu ada menyuarakan hasrat untuk meminta pertolongan YB dan dia menyangka ia hanya gurauan.
Sementara itu, Norhizam berkata, bagi memastikan aduan yang disampaikan kanak-kanak itu benar dan bukannya rekaan, dia mengambil keputusan meninjau untuk menyaksikan sendiri keadaan rumah terbabit.
“Keadaan rumah itu amat menyedihkan dan berbahaya.
“Langkah drastik dibuat yang mana tiga kontraktor sudah dipanggil untuk membuat sebut harga dan kerja baik pulih akan dibuat dalam kadar segera,” katanya.
Menurutnya, selain baik pulih rumah pihaknya juga akan membantu mendapatkan bantuan bulanan buat keluarga berkenaan serta bantuan persekolahan buat dua cucu wanita itu.