Sorting by

×

UTeM terima dividen paling tinggi dalam sejarah

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 19 April – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima penyerahan dividen berjumlah RM5 juta daripada UTeM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB).

Penyerahan itu berlangsung pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di kampus induk universiti itu, di sini, baru-baru ini.

Penyerahan replika cek itu dilakukan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif UHSB, Datuk Wira Sazali Mohd Din.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Datuk Seri Dr. Hasim Hasan selain Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, amaun dividen yang diserahkan oleh UHSB kepada UTeM adalah tertinggi dalam sejarah berbanding tahun sebelum ini.

“Satu kemajuan pada 2022 setelah bergelut selama beberapa tahun menerusi inisiatif perniagaan dan pemantapan strategik dilaksanakan, UHSB mula menzahirkan lonjakan pendapatan dengan meraih keuntungan besar.

“UTeM sentiasa menyokong segala bentuk kecekapan dan keberkesanan pengurusan dipamerkan kumpulan pengurusan serta kakitangan UHSB kerana ianya berkadar langsung selain boleh menambah sumber kewangan untuk Universiti,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Sazali berharap momentum prestasi memberangsangkan oleh UHSB itu akan terus meningkat, sekali gus membanggakan universiti berkenaan.

“UHSB pada masa akan datang akan terus bergerak proaktif dalam memfokuskan kejayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan dengan jayanya di samping mengintai peluang-peluang penerokaan peluang perniagaan baharu yang berkaitan.

“Inisiatif ini adalah seiring dengan kepakaran yang dimiliki dan pada masa yang sama sedang berusaha menggunapakai tenaga serta kepakaran yang dimiliki oleh kakitangan akademik UTeM dalam keadaan menang menang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2129
Kongsi :
Previous post Belia kejar nikmat kalam Allah
Next post 34 individu ditahan terlibat penipuan pelaburan wang kripto
Ubah saiz-+=