Jangan guna nama Ketua Menteri untuk dapatkan projek – AB Rauf
AYER KEROH 18 April – Individu atau mana-mana pihak dilarang daripada menggunakan nama Ketua Menteri Melaka untuk mendapatkan projek demi kepentingan peribadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf berkata, larangan itu antara inisiatif yang penting dan mustahak yang perlu diberi perhatian serius oleh semua ketua jabatan dan Penjawat Awam Negeri Melaka.
Katanya perkara itu penting demi memastikan rakyat terus disantuni dengan baik, sekali gus menjadikan Negeri Melaka terus maju dan makmur.
“Di bawah pentadbiran saya, tiada sesiapapun dibenarkan menggunakan nama YAB Ketua Menteri Melaka untuk mendapatkan apa-apa projek yang berkaitan.
“Jika perkara tersebut berlaku, ketua jabatan perlulah merujuk semula dengan saya sendiri atau pegawai-pegawai kanan saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 bertemakan ‘Bijak Laksana Hang Tuah, Berani Laksana Hang Jebat’ di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan dan lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.
Sejak memikul tanggungjawab sebagai Ketua Menteri ke-13 pada 31 Mac 2023, Ab Rauf bersama sahabat-sahabat dalam
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), terus bertekad, bertindak melaksanakan pelbagai inisiatif dan pengumuman penting yang dapat membantu meringankan beban ditanggung oleh rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.