Melaka perhebat kembali pelancongan pendidikan
BANDARAYA MELAKA 18 April – Pelancongan pendidikan yang merangkumi aspek sejarah dan budaya Negeri Melaka akan diperhebat semula, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif itu bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, selain membendung penyelewengan fakta dan peristiwa penting sejarah negara oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bagi membuat persediaan lebih awal untuk memperkasakan semula sub-sektor pelancongan pendidikan di negeri ini.
“Mungkin perkara ini (pelancongan pendidikan) sudah dibuat dahulu, tetapi ia seakan mula ditinggalkan. Jadi kita mahu mewujudkannya semula.
“Kalau boleh saya mahu generasi muda seawal di bangku sekolah dilibatkan dalam pelancongan pendidikan ini bagi memastikan mereka benar-benar tahu sejarah sebenar negara dan tidak terpengaruh dengan penyelewengan fakta sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka di sebuah hotel, di Bukit Cina, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron dan ketua-ketua jabatan serta penggiat industri pelancongan.
Mengulas lanjut, Razak berkata, bagi memastikan Melaka bersedia untuk membuka pintu pelancongan pendidikan di masa akan datang, beberapa perkara perlu diberi perhatian.
Katanya, ia termasuklah membabitkan fasiliti dan produk yang bakal ditawarkan seperti muzium akan dinaik taraf seiring dengan hasrat tersebut.
Ditanya sama ada Kerajaan Negeri bakal menjadikan Melaka sebagai hab pelancongan pendidikan negara, Abdul Razak berkata, perkara itu akan dimuktamadkan selepas dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.