Lelaki bakar kedai telefon pintar marah cinta ditolak
Ketua Polis Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata anggota Balai Polis Langkap menerima laporan kejadian pada 3.19 petang daripada seorang wanita berusia 46 tahun yang bekerja di kedai telefon berkenaan.
Beliau berkata dalam laporannya, wanita berkenaan menyatakan lelaki berusia 54 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu datang ke premis itu pada 2.30 petang lalu mengamuk sehingga mencederakan wanita berkenaan serta melemparkan kata-kata berunsur lucah.
Menurut Ahmad Adnan, lelaki itu turut mengancam keselamatan wanita itu dengan mengugut akan membakar wanita berkenaan dan premis itu.
“Disebabkan terlalu takut, wanita berkenaan bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan. Semasa laporan dibuat, kedai tempat wanita itu bekerja yang juga milik adiknya telah dilaporkan terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Adnan berkata kebakaran di premis itu berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan kerugian akibat kejadian dianggar lebih kurang RM100,000.
Beliau berkata menurut saksi di tempat kejadian, lelaki itu dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai berkenaan.
Menurut Ahmad Adnan motif kejadian dipercayai berpunca akibat cinta lelaki itu ditolak wanita berkenaan.
Lelaki itu beberapa bulan kebelakangan ini sering kali datang ke kedai itu dalam keadaan mabuk serta cuba memikat wanita berkenaan namun wanita itu menolak dengan cara baik kerana telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.
“Semasa tangkapan dijalankan, lelaki itu didapati melecur di bahagian muka, tangan dan kaki. Lelaki itu ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya sambil menambah lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.
Ahmad Adnan berkata lelaki itu direman lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.