Seramai 120 individu ditahan tidak punyai lesen jual bunga api
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Polis Diraja Malaysia sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan di seluruh negara termasuk terhadap penjualan bunga api dan mercun secara dalam talian melalui platform media sosial serta e-dagang.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram kerana tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Noorsiah berkata polis telah menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 5,188 permohonan diluluskan, manakala 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.